Fakta mata hari ani
BMEN
Muzik: "Calm Ambient" oleh Velariomusic. Terima kasih!

Penyakit Mata Tiroid

Tekan tajuk untuk buka atau tutup.

Apa kan Penyakit Mata Tiroid ani?

Penyakit mata tiroid (thyroid eye disease, atau Graves' orbitopathy) atu penyakit autoimun. Sistem pertahanan badan menyerang otot dan lemak di belakang mata, jadi ia bengkak [1][2].

Ani paling biasa pada urang yang ada tiroid terlampau aktif (overactive thyroid) pasal Graves' disease. Tapi ia boleh jua berlaku bila paras tiroid normal atau rendah.

Image to add

Lukisan muka dengan kedua-dua mata tejegil ke depan dan kelopak mata atas tetarik ke atas, sampai nampak putih mata di atas bahagian yang berwarna. Teks alt: "Lukisan urang yang ada penyakit mata tiroid, dengan mata tejegil dan kelopak mata atas tetarik ke atas sampai nampak macam merenung."

Penyakit ani selalunya ada dua peringkat [2]:

  • peringkat aktif, bila mata meradang dan berubah-ubah, selalunya 1 sampai 2 tahun
  • peringkat inda aktif, bila keadaan sudah tenang, tapi setengah perubahan (macam mata tejegil) mungkin kekal

Cemana kan tau aku tedapat Penyakit Mata Tiroid ani?

Tanda-tandanya selalunya kena kedua-dua mata, tapi sebelah mungkin lebih teruk [1][2]:

  • Mata tejegil (proptosis)
  • Kelopak mata tetarik ke atas, jadi nampak macam merenung (eyelid retraction)
  • Mata merah, berpasir, berair atau pedih, dan silau bila kena cahaya
  • Kelopak mata bengkak, atau rasa sakit di belakang mata
  • Begimbar (double vision), lagi-lagi bila menengok ke atas atau ke tepi
  • Susah menutup mata habis masa tidur malam

Bila perlu dapatkan bantuan segera?

Jarang-jarang, tisu yang bengkak atu menghimpit saraf optik (saraf penglihatan), atau mata tejegil sampai inda dapat tetutup. Ani boleh menyebabkan hilang penglihatan selama-lamanya mun inda dirawat cepat [2].

Jumpa doktor mata hari atu jua mun penglihatan abiskita kurang atau kabur dan inda jelas bila berkelip, warna nampak pudar, atau kelopak mata inda dapat tetutup dan mata sakit atau merah banar. Lepas waktu klinik, pergi ke Unit Kecemasan hospital.

Apa ubat nya tu?

Rawatan bergantung pada seberapa aktif dan seberapa teruk penyakit atu. Selalunya abiskita dirawat oleh pakar mata dan pakar tiroid sekali [2].

  • Penyakit ringan: ubat titis dan gel pelembap mata, cermin mata hitam, dan tidur dengan kepala ditinggikan. Makan tablet selenium selama 6 bulan boleh membantu penyakit ringan yang masih aktif [3].
  • Penyakit aktif, sederhana sampai teruk: steroid, selalunya diberi melalui drip seminggu sekali, atau ubat lain yang menenangkan sistem pertahanan badan [2].
  • Begimbar: kanta prisma khas di cermin mata boleh membantu.
  • Kemudian, bila penyakit sudah inda aktif: radioterapi dalam setengah kes, dan operasi untuk mengurangkan mata tejegil (orbital decompression), meluruskan mata, atau menurunkan kelopak mata [2].

Cemana kan jaga-jaga, dan di mana dapatkan bantuan?

Abiskita boleh mengurangkan risiko dan membantu mata jadi baik [1][2]:

  • Berhenti merokok. Merokok atu risiko paling besar yang abiskita boleh ubah. Urang yang merokok kena penyakit yang lebih teruk, dan rawatan kurang berkesan. Berhenti bila-bila masa pun membantu.
  • Jaga paras tiroid supaya stabil. Makan ubat tiroid macam yang disuruh dan datang untuk ujian darah.
  • Mun abiskita perlu rawatan iodin radioaktif (radioactive iodine) untuk tiroid, bagitau doktor pasal mata abiskita. Abiskita mungkin perlu tablet steroid untuk melindungi mata.
  • Bagitau doktor awal-awal mun ada apa-apa perubahan pada mata.

Di mana kan dapatkan bantuan di Brunei?

Mun abiskita ada penyakit tiroid dan perasan mata berubah, abiskita boleh terus datang ke mana-mana Klinik Mata Komuniti di pusat kesihatan. Inda payah surat rujukan.

Uji minda pantas

3 soalan senang pasal laman ani. Soalan bertukar tiap kali.

Rujukan

  1. NHS. Overactive thyroid (hyperthyroidism). https://www.nhs.uk/conditions/overactive-thyroid-hyperthyroidism/
  2. Bartalena L, Kahaly GJ, Baldeschi L, et al. The 2021 European Group on Graves' orbitopathy (EUGOGO) clinical practice guidelines for the medical management of Graves' orbitopathy. European Journal of Endocrinology. 2021;185(4):G43–G67. https://doi.org/10.1530/EJE-21-0479
  3. Marcocci C, Kahaly GJ, Krassas GE, et al. Selenium and the course of mild Graves' orbitopathy. New England Journal of Medicine. 2011;364(20):1920–1931. https://doi.org/10.1056/NEJMoa1012985

Maklumat di laman ani untuk pendidikan am saja, dan inda menggantikan nasihat doktor abiskita sendiri.