Fakta mata hari ani
BMEN
Muzik: "Calm Ambient" oleh Velariomusic. Terima kasih!

Glaukoma

Tekan tajuk untuk buka atau tutup.

Apa kan Glaukoma ani?

Glaukoma atu sekumpulan penyakit mata yang merosakkan saraf mata (optic nerve), iaitu "kabel" yang membawa gambar dari mata ke otak. Mun saraf ani sudah rosak, ia inda tumbuh balik, jadi penglihatan yang hilang pasal glaukoma atu hilang selama-lamanya.

Glaukoma selalunya berkait dengan tekanan dalam mata yang tinggi. Mata kitani sentiasa membuat sejenis air jernih, dan air ani keluar melalui "longkang" halus di bahagian depan mata. Mun longkang ani inda berfungsi dengan baik, tekanan naik dan menekan saraf mata. Ada jua urang yang kena glaukoma walaupun tekanan matanya normal.

Image to add

Gambar rajah mata yang menunjukkan air mengalir keluar melalui "longkang" di depan mata, dan saraf mata di belakang. Teks alt: "Gambar rajah mata yang menunjukkan tempat air mata dalaman keluar di depan mata dan tempat saraf mata keluar di belakang mata."

Jenis-jenis utama

  • Glaukoma sudut terbuka (open-angle): longkang mata perlahan-lahan jadi kurang lancar bertahun-tahun. Inda sakit, dan inda ada tanda awal. Penglihatan tepi yang hilang dulu.
  • Glaukoma sudut tertutup (angle-closure): bahagian mata yang berwarna (iris) menyumbat longkang. Ani boleh berlaku perlahan-lahan, atau tiba-tiba sebagai kecemasan ("serangan akut"). Lebih biasa dalam kalangan urang Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk kitani di sini.
  • Jenis lain: glaukoma dengan tekanan mata normal, glaukoma disebabkan masalah lain (kecederaan mata, pakai steroid lama, atau penyakit mata kencing manis yang teruk), dan glaukoma yang jarang berlaku pada bayi dan kanak-kanak.

Apa punca nya tu?

Saraf mata rosak, selalunya pasal tekanan dalam mata terlalu tinggi untuk saraf atu tahan. Kenapa ani berlaku masih belum difahami sepenuhnya. Umur, genetik (ia boleh turun dalam keluarga), bentuk mata, dan masalah kesihatan lain samua ada kaitan.

Tinggi kah risiko ku?

Siapa saja boleh kena glaukoma, tapi risiko abiskita lagi tinggi mun:

  • umur abiskita lebih 40 tahun
  • mak, bapa, atau adik-beradik abiskita ada glaukoma
  • tekanan mata abiskita tinggi
  • abiskita berketurunan Asia atau Afrika
  • mata abiskita rabun jauh yang teruk (sudut terbuka) atau rabun dekat (sudut tertutup)
  • abiskita ada kencing manis
  • abiskita pakai ubat steroid lama (ubat titis mata, pil, inhaler atau krim)
  • mata abiskita pernah cedera atau pernah dioperasi

Dekat kitani: dalam satu kajian besar urang Melayu dewasa berumur 40 hingga 80 tahun di Singapura, lebih kurang 3 dalam 100 urang ada glaukoma, dan lebih 9 dalam 10 daripada mereka atu inda tau pun mereka ada glaukoma.

Cemana kan tau aku tedapat Glaukoma ani?

Glaukoma sudut terbuka inda ada tanda awal. Inda sakit, dan penglihatan tengah masih terang sampai peringkat akhir. Satu-satunya cara untuk tau awal ialah periksa mata.

Serangan glaukoma sudut tertutup atu KECEMASAN. Pergi ke Unit Kecemasan dengan segera mun tiba-tiba abiskita ada:

Apa yang dibuat masa periksa glaukoma? Samua ujian ani inda sakit:

  • Ujian tekanan mata (tonometri)
  • Periksa saraf mata di belakang mata
  • Ujian medan penglihatan (visual field), untuk memeriksa penglihatan tepi; abiskita tekan butang bila nampak cahaya
  • Imbasan OCT, imbasan macam gambar untuk mengukur lapisan saraf
  • Gonioskopi, doktor pakai kanta khas untuk menengok longkang mata

Apa boleh terjadi tu?

Glaukoma perlahan-lahan menghilangkan penglihatan tepi dulu. Ramai urang inda perasan sampai banyak penglihatan sudah hilang. Mun inda dirawat, ia boleh menyebabkan:

  • Penglihatan terowong (tunnel vision), macam meninjau dari dalam paip
  • Selalu terlanggar barang, jatuh, dan kemalangan jalan raya
  • Inda selamat memandu
  • Buta kekal

Apa ubat nya tu?

Rawatan bertujuan menurunkan tekanan mata supaya saraf mata terlindung. Rawatan inda dapat membalikkan penglihatan yang sudah hilang, tapi ia boleh menghentikan atau melambatkan kerosakan. Kajian besar sudah menunjukkan menurunkan tekanan mata melambatkan glaukoma daripada jadi lagi teruk.

  1. Ubat titis mata: rawatan paling biasa. Mesti dipakai tiap-tiap hari, seumur hidup, walaupun mata rasa okay saja.
  2. Rawatan laser:
    • Selective laser trabeculoplasty (SLT) membantu longkang mata berfungsi lagi baik untuk glaukoma sudut terbuka. Untuk setengah urang, ani boleh jadi rawatan pertama ganti ubat titis.
    • Laser iridotomi membuat lubang halus di iris untuk melegakan atau mencegah sudut tertutup.
  3. Operasi: membuat saluran keluar yang baru (trabekulektomi), atau memasang tiub atau alat saliran yang halus. Untuk setengah urang yang ada sudut tertutup, membuang kanta mata (macam operasi utik (katarak)) boleh membantu membuka longkang mata.

Puasa bulan Ramadan? Jangan berhenti pakai ubat titis glaukoma sendiri. Bincang dengan doktor mata abiskita pasal masa terbaik untuk menitis ubat, dan rujuk panduan pihak berkuasa agama mun abiskita kurang pasti.

Cemana kitani kan jaga-jaga supaya inda tekana?

Inda ada cara pasti untuk mencegah glaukoma, tapi kitani boleh mencegah buta pasal glaukoma dengan mengesannya awal:

  • Periksa mata mun abiskita sudah lebih 40 tahun, dan selalu lepas atu ikut nasihat doktor.
  • Mun ada keluarga yang ada glaukoma, suruh adik-beradik dan anak-anak periksa mata jua.
  • Mun abiskita ada glaukoma, pakai ubat titis tiap-tiap hari dan jangan ponteng temujanji.
  • Jangan pakai ubat titis steroid mun inda dipreskripsi doktor dan inda diperiksa doktor.
  • Lindungi mata dengan pakai goggle masa bersukan, bertukang atau pakai alat-alat.
  • Kekal aktif, dan kawal kencing manis dan darah tinggi.

Maklumat terkini / Kaji Selidik

  • Glaukoma selalunya tesembunyi: dalam Singapore Malay Eye Study, lebih 90% urang yang ada glaukoma belum pernah didiagnos. [6]
  • Seluruh dunia: bilangan urang yang ada glaukoma dijangka mencapai lebih kurang 112 juta menjelang tahun 2040, dan paling ramai di Asia. [5]

Uji minda pantas

3 soalan senang pasal laman ani. Soalan bertukar tiap kali.

Rujukan

  1. National Eye Institute (NIH). Glaucoma. https://www.nei.nih.gov/learn-about-eye-health/eye-conditions-and-diseases/glaucoma
  2. Gedde SJ, Vinod K, Wright MM, et al. Primary Open-Angle Glaucoma Preferred Practice Pattern®. American Academy of Ophthalmology. Ophthalmology. 2021;128(1):P71–P150. https://doi.org/10.1016/j.ophtha.2020.10.022
  3. Gedde SJ, Chen PP, Muir KW, et al. Primary Angle-Closure Disease Preferred Practice Pattern®. American Academy of Ophthalmology. Ophthalmology. 2021;128(1):P30–P70. https://doi.org/10.1016/j.ophtha.2020.10.021
  4. European Glaucoma Society. Terminology and Guidelines for Glaucoma, 5th Edition. British Journal of Ophthalmology. 2021;105(Suppl 1):1–169. https://doi.org/10.1136/bjophthalmol-2021-egsguidelines
  5. Tham YC, Li X, Wong TY, Quigley HA, Aung T, Cheng CY. Global prevalence of glaucoma and projections of glaucoma burden through 2040. Ophthalmology. 2014;121(11):2081–2090. https://doi.org/10.1016/j.ophtha.2014.05.013
  6. Shen SY, Wong TY, Foster PJ, et al. The prevalence and types of glaucoma in Malay people: the Singapore Malay Eye Study. Investigative Ophthalmology & Visual Science. 2008;49(9):3846–3851.
  7. Heijl A, Leske MC, Bengtsson B, et al. Reduction of intraocular pressure and glaucoma progression: results from the Early Manifest Glaucoma Trial. Archives of Ophthalmology. 2002;120(10):1268–1279.
  8. Wolfs RC, Klaver CC, Ramrattan RS, et al. Genetic risk of primary open-angle glaucoma: population-based familial aggregation study. Archives of Ophthalmology. 1998;116(12):1640–1645.
  9. Gazzard G, Konstantakopoulou E, Garway-Heath D, et al. Selective laser trabeculoplasty versus eye drops for first-line treatment of ocular hypertension and glaucoma (LiGHT): a multicentre randomised controlled trial. Lancet. 2019;393(10180):1505–1516.
  10. World Health Organization. World report on vision. 2019. https://www.who.int/publications/i/item/9789241516570
  11. NHS. Glaucoma. https://www.nhs.uk/conditions/glaucoma/

Maklumat di laman ani untuk pendidikan am saja, dan inda menggantikan nasihat doktor abiskita sendiri.