Fakta mata hari ani
BMEN
Muzik: "Calm Ambient" oleh Velariomusic. Terima kasih!

Keratokonus

Tekan tajuk untuk buka atau tutup.

Apa kan Keratokonus ani?

Kornea (cornea) atu "tingkap" jernih yang bentuknya macam kubah di depan mata. Ia membantu memfokuskan cahaya supaya abiskita nampak jelas.

Dalam keratokonus (keratoconus), kornea perlahan-lahan jadi nipis dan lemah, dan menonjol ke depan jadi bentuk kon [1][2]. Jadi cahaya inda masuk dengan betul, dan penglihatan jadi kabur dan herot.

Image to add

Lukisan mata dari tepi yang membandingkan kornea biasa yang bulat dengan kornea yang menonjol macam kon. Teks alt: "Lukisan dua mata dari tepi: satu dengan kornea biasa berbentuk kubah, dan satu lagi dengan kornea nipis yang menonjol ke depan macam kon, iaitu keratokonus."

  • Selalunya kena dua-dua mata, tapi satu mata selalunya lagi teruk.
  • Selalunya bermula masa remaja atau awal umur 20-an, dan selalunya makin teruk sampai lebih kurang umur 30 hingga 40 [1][3].
  • Ia inda berjangkit dan inda membuat buta sepenuhnya, tapi boleh menjejaskan penglihatan banar mun inda dirawat.

Tinggi kah risiko ku?

Risiko abiskita lagi tinggi mun abiskita [1][2][4]:

  • selalu gosok mata, atau gosok kuat-kuat. Ani antara perkara paling penting yang abiskita boleh ubah.
  • ada alahan (allergy), macam mata gatal, resdung atau lelah (asthma)
  • ada ekzema (eczema)
  • ada ahli keluarga yang kena keratokonus
  • remaja atau dewasa muda
  • ada keadaan tertentu macam sindrom Down

Berhenti gosok mata. Mun mata gatal, pakai tuaman sejuk (cold compress) atau ubat titis alahan dari doktor atau ahli farmasi [4].

Cemana kan tau aku tedapat Keratokonus ani?

Perubahan selalunya perlahan, dalam beberapa bulan hingga beberapa tahun [1][2]:

  • Penglihatan kabur atau herot, dekat dan jauh
  • Kuasa cermin mata selalu bertukar, lagi-lagi astigmatisme (silinder) makin tinggi
  • Nampak dua atau nampak "bayang" dengan satu mata
  • Lampu nampak bersinar-sinar atau ada cincin di kelilingnya, dan susah memandu waktu malam
  • Silau bila kena cahaya

Di klinik, doktor mata akan memeriksa penglihatan dan cermin mata abiskita, menengok kornea dengan mikroskop khas (slit lamp), dan buat imbasan kornea (topography atau tomography). Imbasan ani memetakan bentuk dan ketebalan kornea, dan boleh mengesan keratokonus awal-awal [3].

Remaja yang ada alahan atau ekzema, dan penglihatan nya selalu berubah, patut periksa mata.

Bila perlu dapatkan bantuan segera?

Jarang-jarang, kornea yang tegang atu boleh tiba-tiba koyak di bahagian dalam, jadi air masuk ke dalam kornea. Ani dipanggil hidrops akut (acute hydrops). Mata tiba-tiba jadi keruh, sakit, merah dan berair, dan penglihatan cepat jatuh [1][2].

Mun abiskita ada keratokonus dan mata tiba-tiba jadi sakit, merah dan keruh, atau penglihatan tiba-tiba jadi lagi teruk banar, jumpa doktor mata hari atu jua. Lepas waktu klinik, pergi ke Unit Kecemasan hospital.

Mata merah dan sakit masa pakai kanta lekap pun perlu diperiksa hari atu jua, pasal mungkin ada jangkitan kuman.

Apa ubat nya tu?

Rawatan bergantung pada betapa teruk dan sama ada ia makin teruk [1][2][3]:

  1. Cermin mata atau kanta lekap lembut: membantu untuk kes yang ringan.
  2. Kanta lekap keras: bila kon makin besar, kanta keras (RGP) atau kanta sklera (scleral lens) yang lagi besar memberi permukaan depan yang licin, dan selalunya membuat penglihatan lagi jelas banar dari cermin mata.
  3. Corneal cross-linking (CXL): ubat titis riboflavin (vitamin B2) dan cahaya ultraungu (UV) dipakai untuk menguatkan kornea. Tujuannya untuk menghentikan keratokonus jadi lagi teruk. Ia inda memulihkan balik kornea, jadi paling baik dibuat awal-awal, masa penglihatan masih baik.
  4. Implan kornea (cincin): cincin kecil yang dimasukkan dalam kornea boleh meratakan kon pada setengah urang.
  5. Pemindahan kornea (corneal transplant): untuk kes yang teruk, bila kanta lekap inda lagi membantu atau kornea sudah ada parut teruk. Kornea yang rosak diganti dengan kornea penderma.

Abiskita perlu selalu datang periksa dan buat imbasan, supaya doktor tau mun ia makin teruk.

Di mana kan dapatkan bantuan di Brunei?

Mun penglihatan abiskita selalu berubah, atau abiskita pernah dibagitau mungkin ada keratokonus, abiskita boleh terus datang ke mana-mana Klinik Mata Komuniti di pusat kesihatan. Inda payah surat rujukan.

Uji minda pantas

3 soalan senang pasal laman ani. Soalan bertukar tiap kali.

Rujukan

  1. NHS. Keratoconus. https://www.nhs.uk/conditions/keratoconus/
  2. American Academy of Ophthalmology. What Is Keratoconus? https://www.aao.org/eye-health/diseases/what-is-keratoconus
  3. Gomes JAP, Tan D, Rapuano CJ, et al. Global consensus on keratoconus and ectatic diseases. Cornea. 2015;34(4):359–369. https://doi.org/10.1097/ICO.0000000000000408
  4. National Eye Institute. Keratoconus. https://www.nei.nih.gov/learn-about-eye-health/eye-conditions-and-diseases/keratoconus

Maklumat di laman ani untuk pendidikan am saja, dan inda menggantikan nasihat doktor abiskita sendiri.