Fakta mata hari ani
BMEN
Muzik: "Calm Ambient" oleh Velariomusic. Terima kasih!

Lumpuh Saraf Mata (Saraf ke-3, ke-4 dan ke-6)

Cuba: simulasi pergerakan mata

Gerakkan tetikus (atau leret jari dalam kotak) dan mata akan mengikut.

Mata yang terjejas:
Mata kananMata kiri

Abiskita menghadap urang atu, jadi mata kanannya di sebelah kiri abiskita. Ani model ringkas untuk belajar, bukan ujian.

Tekan tajuk untuk buka atau tutup.

Apa kan Lumpuh Saraf Mata ani?

Ada enam otot kecil yang menggerakkan tiap-tiap mata. Otot-otot ani dikawal oleh tiga saraf dari otak. Lumpuh (palsy) maksudnya satu saraf atu inda bekerja dengan betul, jadi kedua-dua mata inda lagi bergerak sama-sama [1].

  • Saraf ke-3 (oculomotor): mengawal kebanyakan gerakan mata, mengangkat kelopak mata dan mengecilkan anak mata. Mun lumpuh, kelopak mata boleh jatuh, mata tepaling ke bawah dan ke luar, dan kadang-kadang anak mata jadi besar.
  • Saraf ke-4 (trochlear): membantu mata menengok ke bawah dan ke dalam, macam masa membaca atau turun tangga. Urang selalu memiringkan kepala supaya inda begimbar.
  • Saraf ke-6 (abducens): memalingkan mata ke luar, ke arah telinga. Begimbar lagi teruk bila menengok ke tepi atau jauh.

Tinggi kah risiko ku?

Punca yang biasa [1][3]:

  • Kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi, yang boleh menyumbat saluran darah halus ke saraf atu (lumpuh microvascular), kebanyakannya urang umur lebih 50 tahun
  • Kepala cedera
  • Tekanan dalam kepala meningkat
  • Aneurisma (saluran darah di otak yang membengkak), strok, ketumbuhan, atau jangkitan atau keradangan, yang kurang biasa tapi bahaya

Cemana kan tau aku tedapat Lumpuh Saraf Mata ani?

Tanda utama nya tiba-tiba begimbar (diplopia): samua benda nampak dua, sebelah-menyebelah atau satu di atas yang lain [1]. Selalunya hilang bila satu mata ditutup.

Abiskita mungkin jua perasan kelopak mata jatuh, mata juling ke dalam atau ke luar, anak mata besar, atau sakit keliling mata. Doktor mata akan memeriksa gerakan mata dan anak mata, dan abiskita mungkin perlu ujian darah dan imbasan otak (brain scan) [3].

Bila perlu dapatkan bantuan segera?

Setengah lumpuh saraf mata disebabkan masalah di otak, macam aneurisma atau strok, yang perlu dirawat dengan segera [2][3].

Pergi ke Unit Kecemasan hospital atau telefon 991 dengan segera mun abiskita ada kelopak mata jatuh atau begimbar dengan anak mata besar atau sakit kepala, pasal ani boleh jadi tanda aneurisma otak. Pergi jua dengan segera mun tiba-tiba begimbar dengan sakit kepala, lemah atau kebas, cakap pelat, mengantuk banar atau keliru.

Apa ubat nya tu?

Rawatan bergantung pada punca nya [1][3]:

  • Rawat punca nya, macam mengawal gula dalam darah, tekanan darah dan kolesterol.
  • Tutup satu mata dengan penutup mata (patch), atau tampal pelekat di cermin mata, supaya inda begimbar sementara saraf baik balik.
  • Prisma (prisms) di cermin mata boleh membantu menyatukan dua gambar atu.
  • Kebanyakan lumpuh microvascular baik sendiri, selalunya dalam lebih kurang 3 bulan [3].
  • Mun begimbar inda hilang, operasi otot mata atau suntikan mungkin membantu.

Jangan memandu selagi masih begimbar.

Di mana kan dapatkan bantuan di Brunei?

Mun begimbar tanpa tanda-tanda kecemasan di atas, abiskita boleh terus datang ke mana-mana Klinik Mata Komuniti di pusat kesihatan. Inda payah surat rujukan.

Uji minda pantas

3 soalan senang pasal laman ani. Soalan bertukar tiap kali.

Rujukan

  1. NHS. Double vision. https://www.nhs.uk/conditions/double-vision/
  2. NHS. Stroke: Symptoms. https://www.nhs.uk/conditions/stroke/symptoms/
  3. Tamhankar MA, Biousse V, Ying GS, et al. Isolated third, fourth, and sixth cranial nerve palsies from presumed microvascular versus other causes: a prospective study. Ophthalmology. 2013;120(11):2264–2269. https://doi.org/10.1016/j.ophtha.2013.04.009

Maklumat di laman ani untuk pendidikan am saja, dan inda menggantikan nasihat doktor abiskita sendiri.